Tuduhan, dakwaan dan kritikan Edisi_Siasat

Bahagian ini memerlukan pengembangan. Anda boleh menolong dengan membaiki seksyen itu. (Mei 2024)

JPJandora Papers

Edisi Siasat telah membuat tuduhan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Kementerian Pengangkutan Malaysia bahawa di mana nombor-nombor klasik kenderaan bernilai tinggi telah dipunggah keluar, didaftarkan hak milik dan ada yang telah dijual dengan harga yang amat lumayan. Edisi Siasat dalam file pdf yang diedarkan ke dalam akaun media sosial Telegramnya juga berkata bahawa pegawai badan awam atau anggota pentadbiran kerajaan menggunakan kedudukannya dalam membuat keputusan atau mengambil apa-apa tindakan berhubung dengan sesuatu perkara di mana dia, saudara atau sekutunya mempunyai kepentingan.

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menafikan wujud sebarang kepentingan dalam penubuhan pasukan petugas khas untuk menyiasat dakwaan salah laku di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkaitan pendaftaran nombor plat klasik kenderaan. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pasukan petugas khas yang turut dianggotai Ketua Pengarah JPJ itu ditubuhkan bagi memperoleh akses siasatan lebih menyeluruh. "Sudah mesti (pasukan itu) dianggotai JPJ. Sebab Ketua Pengarah JPJ sekarang baru. Jadi dia sebut (pihak mendakwa) isu itu adalah dari 2016, jadi Ketua Pengarah tidak ada kepentingan. Sebab itu perlu ada pembabitan JPJ. Sebab dia memerlukan akses kepada maklumat daftar dan sebagainya. Kalau tiada pembabitan Ketua Pengarah JPJ bagaimana dia boleh akses maklumat," kata beliau pada sidang media sempena Persidangan Parti DAP 2023.[4] Kementerian Pengangkutan diarah menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat dakwaan salah laku di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkaitan pendaftaran nombor plat klasik kenderaan. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pasukan petugas khas yang akan dianggotai Unit Integriti kementerian itu diamanahkan menyiasat dakwaan salah laku yang dibuat saluran Telegram Edisi Siasat. Beliau berkata, perkara itu dibangkitkannya dalam mesyuarat pasca Jemaah Menteri hari ini susulan pendedahan dokumen dikenali sebagai JPJandora Papers.[5]

Penyeludupan barang-barang terlarang di Forest City, Johor

Edisi Siasat telah banyak kali melemparkan tuduhan bahawa terdapat banyak penyeludupan barang-barang terlarang daripada Forest City, Gelang Patah, Johor, Malaysia termasuklah arak dan rokok.[6][7] Sindiket ini juga mendapat perlindungan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Tambahan pula, terdapat pegawai-pegawai tinggi JKDM dan PDRM yang terlibat secara langsung dengan sindiket ini dan mendapat habuan ratusan ribu ringgit (RM) pada tiap-tiap bulan. Sindiket ini sudah mendapat liputan sejak 2021 dan mendapat perhatian pihak PDRM Daerah Iskandar Puteri,[8] namun sehingga kini masih tiada tangkapan yang dibuat.

Penggunaan dana RM700 juta bagi tujuan publisiti Keluarga Malaysia

Edisi Siasat telah mendedahkan cadangan Pelan Komunikasi Strategik Kerajaan Malaysia "Keluarga Malaysia" yang bernilai hampir RM700 juta ketika pentadbiran Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.[9] Dokumen-dokumen yang telah didedahkan di akaun Telegramnya juga telah menunjukkan bahawa terdapat dakwaan rasuah dalam kontrak berkaitan kegiatan promosi konsep "Keluarga Malaysia" yang diperkenalkan Ismail pada Ogos 2021.[10] SPRM telah memulakan siasatan terhadap dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob. Bernama pula melaporkan pegawai SPRM juga ke Kementerian Kewangan bagi mendapatkan bahan bukti. Salah seorang yang disiasat adalah bekas perdana menteri era 'Keluarga Malaysia', Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan siasatan ini berkaitan dakwaan rasuah dalam penganugerahan kontrak untuk papan iklan 'Keluarga Malaysia' dan bahan kempen yang lain. Selain ahli parlimen Bera itu, beberapa bekas pegawainya turut disiasat, termasuk seorang pembantu Ismail yang dilantik secara politik ke jawatan kanan di Pejabat Perdana Menteri pada masa itu dan siasatan ini dibuat di bawah Akta SPRM 2009.

Sambungan kontrak Azam Baki sebagai Ketua Persuruhjaya SPRM

Edisi Siasat telah menjangkakan bahawa Azam Baki akan disambung kontraknya selama setahun lagi oleh Kerajaan Malaysia. Pada awalnya, tuduhan ini ditolak memandangkan Azam sudah berusia 60 tahun pada tarikh 12 Mei 2024. Walau bagaimanapun, pada 10 Mei, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mengesahkan bahawa perkara yang memaklumkan lantikan semula itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. “Adalah dimaklumkan bahawa selaras dengan subseksyen 5(1) dan (2) Akta SPRM 2009 [Akta 694], Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan semula Azam Baki sebagai ketua pesuruhjaya SPRM untuk tempoh setahun berkuat kuasa mulai 12 Mei,” katanya dalam kenyataan media.[11] Tambahan pula, Azam juga menegaskan bahawa beliau akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini dengan penuh integriti.[12]

Serangan asid terhadap Faisal Halim

"Bila ada yang menyebut kononnya ada pembabitan pihak istana dalam kes ini, ini adalah benda-benda yang tidak sepatutnya berlaku disebabkan kita (polis) sendiri belum dapat motif sebenar. JSJ juga masih lagi sedang bertungkus-lumus ke arah perkara itu dan petang tadi Pengarah JSJ, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, sendiri sudah turun ke lokasi kejadian serangan terhadap Faizal di Damansara. Sekarang ini pihak tidak bertanggungjawab termasuk laman telegram Edisi Siasat (ES) seolah-olah sudah menyelesaikan dan menjatuhkan hukuman sendiri dengan membuat spekulasi dan fitnah yang dia dapat daripada mana pun kami tidak tahu."

– Tan Sri Razarudin Husain, 9 Mei 2024

Pemain bola sepak Selangor, Faisal Halim disimbah asid oleh seorang suspek di hadapan sebuah pusat beli-belah. Bagaimanapun, suspek telah ditangkap. Menurut beberapa saksi, suspek sempat mengucapkan "Selamat maju jaya" kepada Faisal sebelum menyimbah asid.[13] Insiden ini berlaku beberapa hari selepas rakan sepasukan kebangsaannya Akhyar Rashid disamun di kediamannya. Beliau cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Icon Residence, Kuala Terengganu, Terengganu, Malaysia.[14] Edisi Siasat dalam akaun Telegramnya menuduh bahawa Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi dalang di sebalik serangan ini. Edisi Siasat mengatakan bahawa terdapat arahan daripada Tunku Ismail untuk menyerang pemain bola tersebut. Tambahan pula, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain telah bertungkus lumus untuk menutup kes tersebut. Laporan polis yang dibuat berkenaan perkara ini juga telah dikelaskan sebagai sulit.

Walau bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut dan menyangkal dakwaan yang ditimbulkan oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab dalam media sosial yang seolah-olah sudah mengetahui motif kejadian itu dengan fitnah yang tidak benar dan tidak berasas.[15][16]

Rujukan

WikiPedia: Edisi_Siasat https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/05... https://www.kosmo.com.my/2024/05/10/saya-akan-laks... https://www.kosmo.com.my/2023/04/30/akaun-telegram... https://www.cinca.news/2021/10/edisi-siasat-kini-d... https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/11/775071/... https://harapanmadani.com/twitter-gantung-akaun-ed... https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/... https://www.mynewshub.tv/2022/02/akaun-twitter-edi... https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/05... https://www.kosmo.com.my/2022/01/13/polis-negeri-s...